Wednesday 20 April 2016

Typhoon Tranche 3

Hari ini di DSA, pihak BAE telah memberi penerangan kepada kami tentang pesawat Typhoon yang ditawarkan kepada TUDM. Seperti yang telah kita sedia maklum sebelum ini, pihak BAE menawarkan Typhoon versi paling terkini iaitu versi Tranche 3. Versi Tranche 3 yang ditawarkan kepada TUDM ini dilengkapi dengan Conformal Fuel Tanks (CFT). Dengan CFT ditambah dengan external fuel tanks, Typhoon mampu untuk terbang lebih jauh dan lebih lama. Ini kerana salah satu requirement TUDM ialah pesawat MRCA yang ditawarkan mestilah mempunyai keupayaan untuk terbang lama dan jauh contohnya dari Pangkalan Udara (PU) Butterworth hingga ke Laut China Selatan (Kepulauan Spratly) dan kemudian kembali semula ke PU tanpa perlu membuat pengisian minyak di udara. CFT pada Typhoon Tranche 3 ini bukanlah jenis fix dan boleh ditanggalkan jika tidak diperlukan.

Dari segi maritime strike capability pula, Typhoon Tranche 3 mampu untuk membawa sehingga 3 unit peluru berpandu anti-kapal AGM-84 Harpoon. Pihak BAE juga memberitahu kepada kami bahawa Typhoon juga mampu untuk membawa peluru berpandu anti-kapal MARTE ER buatan MBDA. Untuk peluru berpandu MARTE ER ini, Typhoon mampu bawa sehingga 6 unit MARTE ER disebabkan saiznya yang lebih kecil dan lebih ringan berbanding Harpoon namun masih mampu untuk mencapai jarak tembakan melebihi 100 kilometer. Pihak SAAB pula mendakwa missile anti-kapal RBS-15 juga turut boleh dipasangkan pada Typhoon.

Dari segi radar, Typhoon Tranche 3 sudah semestinya dilengkapi dengan radar baru jenis Captor-E AESA. Kuwait yang telah membuat tempahan sebanyak 28 buah Typhoon Tranche 3 baru-baru ini menjadi pengguna luar pertama yang akan menggunakan radar Captor-E ini. Dengan menggunakan radar AESA baru ini, pihak BAE mendakwa Typhoon mampu untuk melakukan misi udara ke udara dan udara ke permukaan secara serentak. Typhoon Trache 3 juga dilengkapi dengan sistem Infra-red Search and Track (IRST).

Untuk missile udara ke udara, seperti biasa Typhoon boleh dipasang dengan missile AIM-9 Sidewinder atau ASRAAM. Untuk BVR, missile yang boleh dipasang ialah AIM-120 AMRAAM atau Meteor.

Typhoon Tranche 3 mempunyai keupayaan untuk terbang secara super cruise. Super cruise bermaksud Typhoon tidak perlu menghidupkan after burner pada enjin untuk terbang dengan kelajuan supersonik melebihi Mach 1. Dengan super cruise, Typhoon mampu terbang pada kelajuan supersonik Mach 1.1 dengan tujahan normal pada ketinggian melebihi 10,000 meter.

Banyak lagi penerangan yang diberikan kepada kami oleh pihak BAE mengenai Typhoon Tranche 3 namun kami rasa info yang kami berikan ini sudah mencukupi untuk pengetahuan anda secara umum. Mengenai program MRCA untuk TUDM, kami ada mendapat sedikit maklumat berkenaan hal itu. Seperti yang anda ketahui, pihak TUDM short list empat calon iaitu Typhoon, Gripen, Rafale dan Super Hornet. Dari empat calon tersebut, pihak Kementerian Pertahanan hanya memilih dua calon sahaja sebagai finalist. Tentang itu hanya Kementerian Pertahanan sahaja yang layak untuk umumkan. Kami tak boleh nak beritahu apa-apa pun. Yang kami hanya boleh beritahu ialah selain MRCA itu mesti memenuhi requirement misi dan keupayaan yang diperlukan, syarat lain yang turut dinilai ialah offset program dan pakej pulangan ekonomi yang ditawarkan oleh pihak pengeluar. Sebagai contohnya jika kos pakej pesawat itu tinggi, tak semestinya ia takkan terpilih. Jika pihak pengeluar menawarkan offset program yang menarik dan banyak, maka peluang ia untuk dipilih tetap ada sekalipun kos pakejnya tinggi. Hanya setakat ini sahaja kami dapat kongsikan kepada anda.



1 comment: