Saturday 7 May 2016

BAE Tawarkan 105mm Light Gun Kepada Tentera Darat Malaysia

Semasa DSA 2016 lepas, BAE telah memberitahu kepada kami bahawa mereka menawarkan meriam artileri 105mm Light Gun kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk program penggantian meriam artileri 105mm. Terdapat dua versi meriam artileri 105mm Light Gun ini iaitu L119 dan L118. Beza antara kedua-dua versi ini ialah panjang laras. L119 menggunakan kaliber 105mm/30 manakala L118 menggunakan kaliber 105mm/37.
Berat 105mm Light Gun ini kira-kira 1900kg. Boleh diangkut dengan helikopter medium lift dan boleh ditunda menggunakan kenderaan 4x4 seperti Land Rover dan HMMWV/Vamtac. Ia juga boleh dijatuhkan melalui udara menggunakan pesawat C-130. Meriam ini digunakan secara meluas oleh British Army dan US Army dalam pelbagai konflik dan peperangan. Di Asia Tenggara, Thailand merupakan satu-satunya pengguna meriam jenis ini.
Kelebihan pada meriam 105mm Light Gun ini ialah larasnya yang panjang membolehkan meriam ini membuat tembakan pada jarak yang lebih jauh berbanding dengan meriam Oto Melara 105mm. Jarak tembakan bagi L119 boleh menjangkau sehingga 11.4km menggunakan peluru standard HE M1. Jarak tembakan bagi L118 pula boleh menjangkau sehingga 18km menggunakan peluru HE L31.
Meriam 105mm Light Gun boleh dipasangkan dengan sistem Digital Fire Control. Dengan menggunakan sistem ini, tembakan boleh sedia dilakukan dalam masa 2 minit sahaja berbanding menggunakan conventional sighting system yang memerlukan sehingga 11 minit untuk meriam sedia membuat tembakan. Sistem Digital Fire Control ini hanyalah pilihan dan jika pelanggan tak mahu, 105mm Light Gun boleh menggunakan conventional sighting system yang biasa.
Menurut BAE, meriam 105mm Light Gun ini sudah pun ditamatkan pengeluarannya oleh kilang namun BAE menawarkan 105mm Light Gun refurbish sepenuhnya kepada TDM. BAE juga menawarkan offset program seperti pemasangan dan penyelenggaran meriam akan dilakukan oleh syarikat tempatan sepenuhnya dengan jaminan alat ganti tulen dibekalkan oleh BAE untuk menjamin kualiti meriam tersebut.

Foto: Royal Artillery dari British Army membuat latihan tembakan menggunakan meriam 105mm Light Gun. Foto dari Richard Watt/MOD.

No comments:

Post a Comment