Monday 4 April 2016

10,000 Jam Bawah Laut Krew Scorpene TLDM



Pengumuman oleh TLDM bahawa krew kapal selam Scorpene TLDM, KD Tun Razak (KD TRZ) dan KD Tunku Abdul Rahman (KD TAR) telah melakukan selaman dalam laut secara total mencapai 10,000 jam sejak ia mula memasuki perkhidmatan pada tahun 2009, sudah cukup membuktikan keupayaan dan kebolehan krew kapal selam TLDM dalam mengoperasikan dan mengendalikan SSK Scorpene tersebut.


Bagi kami, selain melihat jumlah jam yang tinggi ini yang menunjukkan kebolehan dan keupayaan krew dan kapal selam Scorpene TLDM, ia juga menunjukkan betapa tinggi tempo operasi oleh kedua-dua kapal selam Scorpene TLDM ini. Dengan hanya memiliki 2 buah kapal selam sahaja dalam perkhidmatan TLDM ketika ini, sudah tentu penggiliran operasi antara kedua-dua Scorpene ini menjadi kerap. Lebih-lebih lagi kapal selam TLDM ini beroperasi dalam perairan negara yang luas. Berbeza dengan negara asing yang mana secara puratanya krew kapal selam mereka berada di bawah permukaan laut antara 3000 - 4000 jam dalam tempoh yang sama. Ini kerana kebanyakan negara asing seperti Australia, Jepun, China dan negara Eropah lain, mereka memiliki lebih daripada 6 buah kapal selam. Ini membolehkan mereka melakukan penggiliran operasi kapal selam mereka secara lebih fleksibel.

Sememangnya pada kami, seperti yang telah kami katakan sebelum ini, bilangan 2 buah kapal selam sahaja dalam perkhidmatan TLDM tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan operasi untuk menjaga perairan negara yang luas. Bagi kami jumlah yang baik untuk dimilliki ialah sebanyak 6 buah (kalau lebih sudah tentu lebih bagus), kerana dengan jumlah ini, TLDM akan dapat membuat penggiliran operasi kapal selam dengan lebih fleksibel dan dapat melakukan rondaan kawasan dengan lebih meluas.

No comments:

Post a Comment