Saab telah memperkenalkan satu sistem AEW&C (Airborne Early Warning & Control) baru yang dikenali sebagai GlobalEye multi-role airborne surveillance system, satu peningkatan ketara dari sistem Erieye AEW&C sebelum ini. Sistem GlobalEye menggunakan radar baru yang dikenali sebagai Erieye ER (Extended Range) AESA dipasang pada pesawat jenis Bombardier Global 6000. Sebelum ini radar Erieye lama dipasang pada pesawat jenis Embraer 145, Saab 2000 dan Saab 340. Penggunaan pesawat Bombardier Global 6000 ini membolehkan sistem GlobalEye ini digunakan pada altitud yang lebih tinggi dan jangkamasa penerbangan yang lebih lama, iaitu terbang pada altitud sehingga 30,000 kaki selama 11 jam.
Sistem GlobalEye mampu melaksanakan pengesanan jarak jauh di udara, darat dan laut secara serentak. Ia juga boleh digunakan untuk melakukan satu peranan sahaja mengikut kemahuan pengguna sama ada peranan pengesanan udara atau permukaan sahaja, dan tiada masalah untuk menukar peranan tersebut apabila diperlukan bila-bila masa sahaja semasa melakukan rondaan. Keupayaan ini dipanggil sebagai 'swing-role'.
Menurut Saab, system GlobalEye ini mampu untuk mengesan sasaran udara dan permukaan yang amat kecil, mampu mengesan ‘stealthy aircraft’, peluru berpandu kruis dan periskop kapal selam walaupun dalam keadaan penyerakan elektronik yang tinggi. Dengan sistem radar Erieye ER, jarak dan keupayaan pengesanan adalah lebih jauh dan lebih tinggi berbanding radar Erieye sedia ada. UAE menjadi pelanggan pertama yang membeli system GlobalEye ini, dengan membuat tempahan sebagai Swing Role Surveillance System (SRSS), pada November 2015.
Jika ditanya adakah TUDM berminat mahu mendapatkan pesawat AEW&C, maka jawapan kami ialah ya. Tidak diketahui secara pasti AEW&C jenis apa yang menjadi pilihan utama TUDM. Namun akibat kekangan bajet maka sehingga kini hasrat untuk mendapatkan pesawat AEW&C itu ditangguhkan. Jika ditanya pendapat kami mengenai GlobalEye ini, maka kami berpendapat ia sesuai untuk kegunaan di negara kita. Kelebihan sistem ini sebagai multi-role dan swing-role, membolehkan TUDM menggunakannya untuk peranan amaran awal udara dan rondaan maritim secara serentak atau berasingan, bergantung kepada kemahuan dan keperluan operasi.
GlobalEye pada pesawat Bombardier Global 6000 |
No comments:
Post a Comment