Sunday 18 October 2015

SISTEM BUK-M DALAM TRAGEDI MH17

Di sini kami sediakan sedikit info mengenai sistem peluru berpandu permukaan ke udara jarak sederhana panduan radar Buk-M buatan Russia yang telah digunakan untuk menembak jatuh MH17.

Berdasarkan bukti forensik dan fizikal pada badan pesawat penerbangan MH17 dan pada mayat 3 krew pesawat, Dutch Safety Board telah mengeluarkan laporan penuh Air Crash Investigation dengan menyatakan MH17 telah ditembak menggunakan warhead model siri 9N314M. Model warhead ini menggunakan partikel berbentuk kiub dan bow-tie. Warhead ini dipasangkan kepada peluru berpandu model siri 9M38. Pelancar yang digunakan untuk menembak peluru berpandu ini ialah model siri Buk-M. Kemungkinan sangat besar ia dari model Buk-M1. Siapa sebenarnya yang menembak jatuh MH17 tidak dinyatakan oleh Dutch Safety Board kerana ia di luar bidang kuasa mereka. Mereka hanya bertanggungjawab untuk menentukan punca MH17 terhempas.

Menurut Russia, mereka tidak lagi menggunakan warhead model siri 9N314M. Mereka telah menamatkan perkhidmatan model warhead tersebut sejak tahun 2011. Ini bermakna Russia sudah tidak lagi menggunakan pelancar Buk-M1, yang menggunakan peluru berpandu model siri 9M38. Russia ketika ini menggunakan model pelancar yang lebih moden dan terkini iaitu model Buk-M1-2 dan Buk-M2. Model pelancar Buk-M1-2 dan Buk-M2 menggunakan peluru berpandu model siri 9M317. Model siri 9M317 ini menggunakan warhead siri 9N318, yang mempunyai partikel berbeza berbanding siri 9N314M.

Menurut Belanda, pihak pendakwaan Belanda sudah pun memulakan siasatan jenayah untuk mencari pihak yang bertanggungjawab dalam menembak jatuh MH17, dan mengatakan mereka mempunyai suspek. Namun pihak pendakwaan Belanda berkata siasatan jenayah ini akan mengambil masa lama dan sukar kerana suspek, saksi dan bukti berada di kawasan zon konflik peperangan antara Ukraine dengan pihak pemberontak pro-Russia. Ini menyukarkan lagi mereka untuk memasuki kawasan tersebut untuk mengumpulkan bukti jenayah. Lebih-lebih lagi, siasatan ini sudah pasti memerlukan kerjasama sepenuhnya daripada pihak Ukraine, pemberontak pro-Russia dan Russia untuk membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Dan kerjasama daripada pihak terbabit kelihatan amat samar ketika ini kerana konflik di Ukraine masih berterusan sehingga ke hari ini.

No comments:

Post a Comment