Wednesday 20 April 2016

Typhoon Tranche 3

Hari ini di DSA, pihak BAE telah memberi penerangan kepada kami tentang pesawat Typhoon yang ditawarkan kepada TUDM. Seperti yang telah kita sedia maklum sebelum ini, pihak BAE menawarkan Typhoon versi paling terkini iaitu versi Tranche 3. Versi Tranche 3 yang ditawarkan kepada TUDM ini dilengkapi dengan Conformal Fuel Tanks (CFT). Dengan CFT ditambah dengan external fuel tanks, Typhoon mampu untuk terbang lebih jauh dan lebih lama. Ini kerana salah satu requirement TUDM ialah pesawat MRCA yang ditawarkan mestilah mempunyai keupayaan untuk terbang lama dan jauh contohnya dari Pangkalan Udara (PU) Butterworth hingga ke Laut China Selatan (Kepulauan Spratly) dan kemudian kembali semula ke PU tanpa perlu membuat pengisian minyak di udara. CFT pada Typhoon Tranche 3 ini bukanlah jenis fix dan boleh ditanggalkan jika tidak diperlukan.

Dari segi maritime strike capability pula, Typhoon Tranche 3 mampu untuk membawa sehingga 3 unit peluru berpandu anti-kapal AGM-84 Harpoon. Pihak BAE juga memberitahu kepada kami bahawa Typhoon juga mampu untuk membawa peluru berpandu anti-kapal MARTE ER buatan MBDA. Untuk peluru berpandu MARTE ER ini, Typhoon mampu bawa sehingga 6 unit MARTE ER disebabkan saiznya yang lebih kecil dan lebih ringan berbanding Harpoon namun masih mampu untuk mencapai jarak tembakan melebihi 100 kilometer. Pihak SAAB pula mendakwa missile anti-kapal RBS-15 juga turut boleh dipasangkan pada Typhoon.

Dari segi radar, Typhoon Tranche 3 sudah semestinya dilengkapi dengan radar baru jenis Captor-E AESA. Kuwait yang telah membuat tempahan sebanyak 28 buah Typhoon Tranche 3 baru-baru ini menjadi pengguna luar pertama yang akan menggunakan radar Captor-E ini. Dengan menggunakan radar AESA baru ini, pihak BAE mendakwa Typhoon mampu untuk melakukan misi udara ke udara dan udara ke permukaan secara serentak. Typhoon Trache 3 juga dilengkapi dengan sistem Infra-red Search and Track (IRST).

Untuk missile udara ke udara, seperti biasa Typhoon boleh dipasang dengan missile AIM-9 Sidewinder atau ASRAAM. Untuk BVR, missile yang boleh dipasang ialah AIM-120 AMRAAM atau Meteor.

Typhoon Tranche 3 mempunyai keupayaan untuk terbang secara super cruise. Super cruise bermaksud Typhoon tidak perlu menghidupkan after burner pada enjin untuk terbang dengan kelajuan supersonik melebihi Mach 1. Dengan super cruise, Typhoon mampu terbang pada kelajuan supersonik Mach 1.1 dengan tujahan normal pada ketinggian melebihi 10,000 meter.

Banyak lagi penerangan yang diberikan kepada kami oleh pihak BAE mengenai Typhoon Tranche 3 namun kami rasa info yang kami berikan ini sudah mencukupi untuk pengetahuan anda secara umum. Mengenai program MRCA untuk TUDM, kami ada mendapat sedikit maklumat berkenaan hal itu. Seperti yang anda ketahui, pihak TUDM short list empat calon iaitu Typhoon, Gripen, Rafale dan Super Hornet. Dari empat calon tersebut, pihak Kementerian Pertahanan hanya memilih dua calon sahaja sebagai finalist. Tentang itu hanya Kementerian Pertahanan sahaja yang layak untuk umumkan. Kami tak boleh nak beritahu apa-apa pun. Yang kami hanya boleh beritahu ialah selain MRCA itu mesti memenuhi requirement misi dan keupayaan yang diperlukan, syarat lain yang turut dinilai ialah offset program dan pakej pulangan ekonomi yang ditawarkan oleh pihak pengeluar. Sebagai contohnya jika kos pakej pesawat itu tinggi, tak semestinya ia takkan terpilih. Jika pihak pengeluar menawarkan offset program yang menarik dan banyak, maka peluang ia untuk dipilih tetap ada sekalipun kos pakejnya tinggi. Hanya setakat ini sahaja kami dapat kongsikan kepada anda.



Tuesday 19 April 2016

Program Tingkat Upaya Condor 4x4 oleh Deftech

Antara tingkat upaya yang dilakukan terhadap Condor:

1. Enjin lama dengan kuasa 168 hp tukar kepada enjin baru dengan kuasa 215 hp.

2. Transmisi manual tukar kepada transmisi automatik.

3. Drop box lama 491Nm @ 1600 rpm tukar yang baru kepada 800Nm @ 1200 -1700 rpm.

4. Axle dan suspensi lama jenis rigid axle tukar kepada independent axle.

5. Lain-lain sistem yang turut naik taraf ialah sistem hidraulik, sistem penyejukan enjin, sistem penghawa dingin, steering dan vision.

6. Elektrikal pula buat pendawaian baru, panel pemanduan digital dan sistem digital lain yang menepati standard tentera (MIL-STD-810 G).

Ini ialah antara tingkat upaya dan naik taraf yang dilakukan terhadap prototype Condor (upgrade) oleh Deftech. Jika pihak ATM berpuas hati dengan program ini maka ia akan dilaksanakan sepenuhnya selepas itu.



Monday 4 April 2016

10,000 Jam Bawah Laut Krew Scorpene TLDM



Pengumuman oleh TLDM bahawa krew kapal selam Scorpene TLDM, KD Tun Razak (KD TRZ) dan KD Tunku Abdul Rahman (KD TAR) telah melakukan selaman dalam laut secara total mencapai 10,000 jam sejak ia mula memasuki perkhidmatan pada tahun 2009, sudah cukup membuktikan keupayaan dan kebolehan krew kapal selam TLDM dalam mengoperasikan dan mengendalikan SSK Scorpene tersebut.


Bagi kami, selain melihat jumlah jam yang tinggi ini yang menunjukkan kebolehan dan keupayaan krew dan kapal selam Scorpene TLDM, ia juga menunjukkan betapa tinggi tempo operasi oleh kedua-dua kapal selam Scorpene TLDM ini. Dengan hanya memiliki 2 buah kapal selam sahaja dalam perkhidmatan TLDM ketika ini, sudah tentu penggiliran operasi antara kedua-dua Scorpene ini menjadi kerap. Lebih-lebih lagi kapal selam TLDM ini beroperasi dalam perairan negara yang luas. Berbeza dengan negara asing yang mana secara puratanya krew kapal selam mereka berada di bawah permukaan laut antara 3000 - 4000 jam dalam tempoh yang sama. Ini kerana kebanyakan negara asing seperti Australia, Jepun, China dan negara Eropah lain, mereka memiliki lebih daripada 6 buah kapal selam. Ini membolehkan mereka melakukan penggiliran operasi kapal selam mereka secara lebih fleksibel.

Sememangnya pada kami, seperti yang telah kami katakan sebelum ini, bilangan 2 buah kapal selam sahaja dalam perkhidmatan TLDM tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan operasi untuk menjaga perairan negara yang luas. Bagi kami jumlah yang baik untuk dimilliki ialah sebanyak 6 buah (kalau lebih sudah tentu lebih bagus), kerana dengan jumlah ini, TLDM akan dapat membuat penggiliran operasi kapal selam dengan lebih fleksibel dan dapat melakukan rondaan kawasan dengan lebih meluas.