Monday 9 May 2016

BAE Tawarkan M777 155mm/39 Lightweight Howitzer Kepada Tentera Darat Malaysia (TDM)

Selain menawarkan 105mm Light Gun, BAE juga turut menawarkan M777 155mm/39 Lightweight Howitzer kepada TDM. Berbeza dengan 105mm Light Gun yang ditawarkan meriam yang refurbish, M777 yang ditawarkan kepada TDM ini ialah meriam baru. Maka kita boleh jangka harganya pasti mahal kerana ia merupakan meriam baru sepenuhnya.

M777 membuat tembakan.

Berat produksi M777 terkini hanya sekitar 3400 kg, menjadikannya meriam 155mm paling ringan ketika ini. Sebagai perbandingan, meriam G5 Mk3 yang digunakan oleh TDM ketika ini seberat kira-kira 13,600 kg. M777 begitu ringan berbanding dengan mana-mana meriam 155mm yang lain kerana meriam ini dibuat menggunakan Titanium, sejenis logam yang amat kuat tapi ringan. Ini menjadikan M777 begitu mudah untuk ditunda dan juga diangkut menggunakan helikopter seperti CH-47 Chinook, CH-53K King Stallion dan V-22 Osprey secara underslung. Ini menjadikan M777 sebagai pilihan utama dan digunakan oleh US Army dan USMC secara meluas dalam pelbagai konflik dan peperangan ketika ini. Tidak dapat dipastikan sama ada meriam ini certified untuk boleh diangkut secara underslung menggunakan helikopter H225M (dikenali sebagai EC725 sebelum ini) walaupun Airbus Helicopter menyatakan H225M mampu mengangkut beban kargo secara luaran sehingga 4,750 kg. Ini kerana saiz H225M yang berbeza iaitu lebih kecil berbanding CH-47, CH-53 dan V-22 Osprey.

M777 diangkut menggunakan helikopter CH-53E Super Stallion

Jarak maksima tembakan M777 menggunakan peluru standard ialah 24.7 km manakala jika menggunakan assisted rocket ia boleh menjangkau melebihi 30 km. Jika menggunakan peluru Excalibur ia boleh menjangkau sehingga 40 km. Kadar tembakan ialah sehingga 5 tembakan seminit (bergantung pada kepantasan krew meriam). Kadar tembakan normal ialah 2 tembakan seminit. Seramai 8 krew diperlukan untuk mengoperasikan M777 ini.

Saturday 7 May 2016

BAE Tawarkan 105mm Light Gun Kepada Tentera Darat Malaysia

Semasa DSA 2016 lepas, BAE telah memberitahu kepada kami bahawa mereka menawarkan meriam artileri 105mm Light Gun kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk program penggantian meriam artileri 105mm. Terdapat dua versi meriam artileri 105mm Light Gun ini iaitu L119 dan L118. Beza antara kedua-dua versi ini ialah panjang laras. L119 menggunakan kaliber 105mm/30 manakala L118 menggunakan kaliber 105mm/37.
Berat 105mm Light Gun ini kira-kira 1900kg. Boleh diangkut dengan helikopter medium lift dan boleh ditunda menggunakan kenderaan 4x4 seperti Land Rover dan HMMWV/Vamtac. Ia juga boleh dijatuhkan melalui udara menggunakan pesawat C-130. Meriam ini digunakan secara meluas oleh British Army dan US Army dalam pelbagai konflik dan peperangan. Di Asia Tenggara, Thailand merupakan satu-satunya pengguna meriam jenis ini.
Kelebihan pada meriam 105mm Light Gun ini ialah larasnya yang panjang membolehkan meriam ini membuat tembakan pada jarak yang lebih jauh berbanding dengan meriam Oto Melara 105mm. Jarak tembakan bagi L119 boleh menjangkau sehingga 11.4km menggunakan peluru standard HE M1. Jarak tembakan bagi L118 pula boleh menjangkau sehingga 18km menggunakan peluru HE L31.
Meriam 105mm Light Gun boleh dipasangkan dengan sistem Digital Fire Control. Dengan menggunakan sistem ini, tembakan boleh sedia dilakukan dalam masa 2 minit sahaja berbanding menggunakan conventional sighting system yang memerlukan sehingga 11 minit untuk meriam sedia membuat tembakan. Sistem Digital Fire Control ini hanyalah pilihan dan jika pelanggan tak mahu, 105mm Light Gun boleh menggunakan conventional sighting system yang biasa.
Menurut BAE, meriam 105mm Light Gun ini sudah pun ditamatkan pengeluarannya oleh kilang namun BAE menawarkan 105mm Light Gun refurbish sepenuhnya kepada TDM. BAE juga menawarkan offset program seperti pemasangan dan penyelenggaran meriam akan dilakukan oleh syarikat tempatan sepenuhnya dengan jaminan alat ganti tulen dibekalkan oleh BAE untuk menjamin kualiti meriam tersebut.

Foto: Royal Artillery dari British Army membuat latihan tembakan menggunakan meriam 105mm Light Gun. Foto dari Richard Watt/MOD.