Sunday, 27 March 2016

GlobalEye AEW&C dari Saab

Saab telah memperkenalkan satu sistem AEW&C (Airborne Early Warning & Control) baru yang dikenali sebagai GlobalEye multi-role airborne surveillance system, satu peningkatan ketara dari sistem Erieye AEW&C sebelum ini. Sistem GlobalEye menggunakan radar baru yang dikenali sebagai Erieye ER (Extended Range) AESA dipasang pada pesawat jenis Bombardier Global 6000. Sebelum ini radar Erieye lama dipasang pada pesawat jenis Embraer 145, Saab 2000 dan Saab 340. Penggunaan pesawat Bombardier Global 6000 ini membolehkan sistem GlobalEye ini digunakan pada altitud yang lebih tinggi dan jangkamasa penerbangan yang lebih lama, iaitu terbang pada altitud sehingga 30,000 kaki selama 11 jam.
Sistem GlobalEye mampu melaksanakan pengesanan jarak jauh di udara, darat dan laut secara serentak. Ia juga boleh digunakan untuk melakukan satu peranan sahaja mengikut kemahuan pengguna sama ada peranan pengesanan udara atau permukaan sahaja, dan tiada masalah untuk menukar peranan tersebut apabila diperlukan bila-bila masa sahaja semasa melakukan rondaan. Keupayaan ini dipanggil sebagai 'swing-role'.
Menurut Saab, system GlobalEye ini mampu untuk mengesan sasaran udara dan permukaan yang amat kecil, mampu mengesan ‘stealthy aircraft’, peluru berpandu kruis dan periskop kapal selam walaupun dalam keadaan penyerakan elektronik yang tinggi. Dengan sistem radar Erieye ER, jarak dan keupayaan pengesanan adalah lebih jauh dan lebih tinggi berbanding radar Erieye sedia ada. UAE menjadi pelanggan pertama yang membeli system GlobalEye ini, dengan membuat tempahan sebagai Swing Role Surveillance System (SRSS), pada November 2015.
Jika ditanya adakah TUDM berminat mahu mendapatkan pesawat AEW&C, maka jawapan kami ialah ya. Tidak diketahui secara pasti AEW&C jenis apa yang menjadi pilihan utama TUDM. Namun akibat kekangan bajet maka sehingga kini hasrat untuk mendapatkan pesawat AEW&C itu ditangguhkan. Jika ditanya pendapat kami mengenai GlobalEye ini, maka kami berpendapat ia sesuai untuk kegunaan di negara kita. Kelebihan sistem ini sebagai multi-role dan swing-role, membolehkan TUDM menggunakannya untuk peranan amaran awal udara dan rondaan maritim secara serentak atau berasingan, bergantung kepada kemahuan dan keperluan operasi.

GlobalEye pada pesawat Bombardier Global 6000

Wednesday, 23 March 2016

Bomba Bakal Terima 2 Buah AW189

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bakal menerima dua buah helikopter baru jenis AW189. Helikopter ini bakal digunakan untuk tujuan bantuan pemadaman kebakaran, mencari & menyelamat dan bantuan bencana alam. Penghantaran helikopter ini dijangka akan dilakukan pada tahun depan. Walaupun pembelian ini hanya melibatkan 2 buah helikopter namun ianya satu langkah yang baik untuk penambahan secara sedikit demi sedikit daripada tiada langsung.

Setakat ini pihak Bomba telah memiliki dan menggunakan helikopter jenis A109E, AW139 dan Mi-171 dalam perkhidmatan mereka. AW189 dipilih kerana Bomba telah memiliki pengalaman mengendalikan helikopter AW139, yang mana ia memudahkan pihak Bomba dari segi latihan dan sokongan apabila mengendalikan helikopter AW189 kelak.

Dari segi saiz, AW189 lebih besar sedikit berbanding AW139. AW189 mampu terbang pada kelajuan kruis 269 hingga 287 km/h. Kelajuan maksimum pada 313 km/h. Jarak penerbangan maksimum (dengan tangki tambahan) ialah 1,111 km dan mampu terbang selama 5 jam 40 minit. Berat maksimum untuk berlepas pada 8300/8600 kg.

AW189



Sunday, 20 March 2016

No. 100 Squadron RAF - Sarang Tebuan Jangan Dijolok

Dalam Royal Air Force (RAF), 100 Sqn ketika ini memegang peranan sebagai satu-satunya agressor squadron. Tugas skuadron ini ialah melakukan peranan sebagai pesawat 'musuh' untuk melatih juruterbang Typhoon RAF dalam pertempuran udara jarak dekat atau lebih dikenali sebagai dogfight.

100 Sqn menggunakan pesawat Hawk T1A dan berpengkalan di RAF Leeming, North Yorkshire. Sejak tahun 1995, pilot 100 Sqn terdiri daripada pilot veteran yang berpengalaman tinggi dalam mengendalikan pesawat pejuang barisan hadapan sebelum ditukarkan ke 100 Sqn. Di sini mereka mempunyai tugas utama untuk melatih pilot yang menggunakan pesawat pejuang Typhoon supaya mahir dalam pertempuran udara jarak dekat. Selalunya 100 Sqn akan mengguna dan meniru taktik dan pergerakan yang digunakan oleh pesawat musuh seperti pesawat Su-27/30 Flanker. Pilot Typhoon pula akan cuba untuk mengatasi pilot 100 Sqn ini untuk mendapatkan 'kill'.

100 Sqn Hawk T1A


Pesawat Hawk T1A yang digunakan oleh skuadron ini merupakan pesawat dari era tahun 1970-an. Ia dilengkapi pod RAIDS (Rangeless Airborne Instrumentation Debriefing System) dan boleh membawa peluru berpandu AIM-9 Sidewinder. Namun pesawat ini mempunyai kekurangannya iaitu tidak dilengkapi radar dan peluru berpandu infrared terkini.

100 Sqn menggunakan insignia tengkorak dengan tulang bersilang. Insignia ini mula digunakan pada tahun 1917 secara tidak rasmi. Kemudian pada November 1937, lambang skuadron ini diluluskan untuk digunakan secara rasmi oleh King George VI dengan syarat ia mesti menggunakan moto dalam Bahasa Melayu/Malaysia iaitu 'Sarang Tebuan Jangan Dijolok'.

100 Squadron RAF - Sarang Tebuan Jangan Dijolok





Thursday, 10 March 2016

Typhoon Untuk Bahrain?

Selepas berjaya menjual Typhoon kepada Kuwait dan Oman, BAE pula sedang giat mempromosikan pesawat pejuang Typhoon kepada Bahrain sebagai pengganti kepada pesawat pejuang F-5. Bahrain dilihat agak berminat dengan pesawat pejuang Typhoon ini semasa berlangsungnya Bahrain International Airshow 2016 pada Januari lepas. Semasa pameran itu, BAE telah mempamerkan satu replika penuh pesawat pejuang Typhoon bersama persenjataan Dual Mode Brimstone, peluru berpandu udara ke udara Meteor, Paveway IV LGB/GPS guided dan Storm Shadow.

Sementara itu, baru-baru ini pula Parlimen Kuwait telah pun meluluskan pembelian 28 buah pesawat pejuang Typhoon Tranche 3 dengan kos pembelian sebanyak US$9.2 billion. 22 buah daripadanya ialah versi satu tempat duduk manakala bakinya ialah versi dua tempat duduk. Pembelian ini dilakukan untuk menggantikan 39 buah pesawat F/A-18C/D Hornet yang dibeli pada awal tahun 1990-an. Pada masa yang sama juga, Kuwait memberitahu mereka juga mahu mendapatkan pesawat pejuang F/A-18E/F Super Hornet untuk digunakan bersama pesawat pejuang Typhoon. Namun begitu buat masa ini belum ada maklumat terkini tentang pembelian Super Hornet tersebut. 


Royal Saudi Air Force Typhoon

Wednesday, 2 March 2016

M109A6 Paladin untuk Tentera Darat Malaysia?

Menurut Panglima Tentera Darat, Jeneral Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, TDM telah menerima tawaran penjualan M109A5 Paladin daripada US di bawah program Excess Defense Articles (EDA). Menurut beliau, TDM ketika ini sedang dalam proses untuk membuat pembelian M109A5 tersebut. Jika proses itu selesai, TDM dijangka dapat memperolehi sehingga 30 buah M109A5 Paladin, yang mana 24 buah daripadanya kemungkinan akan dinaik taraf kepada versi A6 manakala bakinya digunakan untuk tujuan latihan dan alat ganti.


M109A6 Paladin



Oleh kerana ketika ini perkara ini masih dalam proses untuk dibuat pembelian, belum diketahui bila kontrak pembelian akan dilakukan dan ditandatangani. Dan sememangnya kita amat berharap agar kontrak pembelian ini akan ditandatangani dan menjadi kenyataan seberapa segera. Apabila kontrak pembelian sudah menjadi kenyataan dan ditandatangani nanti, kami akan berikan ulasan lanjut mengenai sistem artileri bergerak M109A5/A6 Paladin ini.