Wednesday 17 February 2016

F-22A Raptor US Air Force (USAF)

Pesawat buatan syarikat Lockheed Martin ini membuat penerbangan pertamanya pada 29 September 1990. Penghantaran pertama F-22 kepada USAF dilakukan pada 26 September 2003, Penghantaran terakhir dilakukan pada 5 Mei 2012. Sebanyak 187 unit telah diserahkan kepada USAF. F-22 mencapai Initial Operation Capability (IOC) pada 15 Disember 2005. Pada 12 Disember 2007, F-22 mencapai Full Operational Capability (FOC) dalam perkhidmatan USAF.

Mengikut perancangan asal, USAF sepatutnya menerima sebanyak 381 unit pesawat F-22A Raptor. Namun akibat pemotongan bajet yang dilakukan oleh Setiausaha Pertahanan US ketika itu, Robert Gates (2006 – 2011), mengakibatkan USAF hanya menerima sebanyak 187 unit sahaja F-22 dalam perkhidmatan mereka. Daripada 187 unit tersebut, hanya kira-kira 150 unit sahaja dapat beroperasi dalam satu-satu masa. Satu jumlah yang amat sedikit dan tidak mencukupi untuk menampung keperluan operasi USAF.

F-22 Raptor berkeupayaan untuk melakukan penerbangan supercruise, iaitu terbang pada kelajuan supersonic tanpa perlu mengaktifkan afterburner pada enjin pesawat. Turut dilengkapi pada F-22 ialah sistem Thrust Vectoring Control (TVC) 2-dimensi yang membolehkan pesawat F-22 melakukan extreme manuver di udara, memberikan kelebihan kepada pesawat ini dalam dogfight. Pilot TUDM telah pun merasai pengalaman ‘bertempur’ di udara bersama F-22 Raptor ini semasa Ex Cope Taufan 2014.


 F-22 Raptor di Singapore Air Show 2016


F-22 Raptor dilengkapi radar AN/APG-77 AESA. Seperti biasa peluru berpandu udara ke udara yang dibawa oleh F-22 ialah AIM-9M/X dan AIM-120 AMRAAM. Untuk serangan darat, F-22 menggunakan bom GBU-32 JDAM (Joint Direct Attack Munition) dan GBU-39 SDM (Small Diameter Bomb). Menurut USAF, masih banyak lagi teknologi dan keupayaan pada F-22 masih dirahsiakan sehingga kini.

F-22 melakukan misi pertamanya di Syria menyerang kedudukan militan Daesh. Bagaimanapun tidak diketahui berapa buah F-22 terlibat dalam misi di Syria kerana maklumat tersebut dirahsiakan.

No comments:

Post a Comment