Tuesday 26 January 2016

Leftenan Muda Adnan Saidi dan Sejarah RAMD

Logo Rejimen Askar Melayu Diraja
Disebabkan wujudnya kembali unsur-unsur buta sejarah berkenaan perjuangan Leftenan Muda Adnan Saidi dan Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) dengan membuat tuduhan palsu dan tidak benar mengatakan arwah Lt Muda Adnan berjuang untuk British dan RAMD pula ditubuhkan oleh British, maka dengan sukacitanya kami re-post balik berkenaan sejarah sebenar penubuhan RAMD, yang mana penubuhan ini telah menghasilkan ramai pejuang dan perwira negara dalam mempertahankan Tanah Melayu daripada serangan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Ketika tentera British dan tentera asing yang dibawa oleh British bertindak berundur dan melarikan diri daripada terus bertempur dengan tentera Jepun, askar Melayu dari RAMD tetap teguh berjuang tidak gentar dan tidak berundur melawan kemaraan tentera Jepun. Mereka berjuang bukan untuk mempertahankan British. Mereka berjuang di Tanah Melayu, bukan di London, bukan di Dunkirk, bukan di Berlin. Siapa lagi yang boleh diharapkan untuk mempertahankan Tanah Melayu disaat tentera British dan tentera asing yang lain telah berundur? Baca dan fahami sejarah sebenar sehingga tertubuhnya RAMD. Baca dan fahami siapakah yang sebenarnya bersusah payah berusaha bersungguh-sungguh sehingga tertubuhnya RAMD.

'Berjuang untuk British' dan 'Berjuang dengan British' adalah dua perkara yang sangat berbeza. RAMD berjuang dengan British untuk mempertahankan Tanah Melayu melawan serangan tentera Jepun, bukannya RAMD berjuang untuk British. Faham betul-betul ye.

Kalau pasukan arwah Lt Muda Adnan Saidi dan anggota RAMD tu berjuang untuk British, dah lama dorang berundur dan cabut lari bila British lari. Dah takde point dorang nak terus berjuang sebab British dah lari. Tapi mereka tak berbuat demikian kerana mereka tahu bukan itu tugas mereka. Tugas mereka ialah untuk mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara. Biar Putih Tulang, Jangan Putih Mata!
__________________________________

Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD)

1 Mac telah dipilih sebagai tarikh rasmi Hari Tentera Darat Malaysia. Ia berkait rapat dengan tarikh penubuhan rejimen pertama Askar Melayu pada 1 Mac 1933.

Penubuhan Askar Melayu ini bermula dengan hasil usaha Raja-Raja Melayu ketika itu yang mahukan Tanah Melayu mempunyai satu pasukan askar tempatan sendiri yang dianggotai oleh anak-anak Melayu tempatan. Pada waktu itu hanya askar-askar asing (terutamanya dari India dan Gurkha) dibawa masuk oleh pihak British untuk pertahanan Tanah Melayu. Raja-Raja Melayu ketika itu menyedari bahawa Tanah Melayu tidak boleh bergantung pada askar-askar asing ini kerana kesetiaan mereka bukan pada Tanah Melayu.

Usaha untuk menubuhkan pasukan Askar Melayu untuk Tanah Melayu ini telah bermula seawal tahun 1902 lagi. Raja-Raja Melayu ketika itu banyak kali berbincang dengan pihak British supaya melatih orang-orang Melayu menjadi askar sepenuhnya dan mewujudkan rejimen mereka sendiri, bukan hanya sekadar menjadi askar sukarelawan dan tumpangan kepada unit/rejimen lain. Persoalannya, kenapa Raja-Raja Melayu meminta British supaya melatih dan mewujudkan Rejimen Askar Melayu ini? Kenapa Raja-Raja tak buat sendiri tanpa harapkan British? Soalan ini sering ditanya oleh orang-orang yang mempertikaikan kenapa perlu bantuan British untuk wujudkan Rejimen Askar Melayu. Jawapannya ialah takkan la Raja-Raja Melayu tu yang nak kena latih pulak. Orang Melayu sendiri tiada ilmu peperangan moden untuk menggunakan raifal, mortar, meriam, berkawad semua tu. Lain la kalau Empayar Kerajaan Melayu Melaka sejak dari zaman Parameswara dulu tak pernah runtuh.

Dalam tahun 1913, Almarhum Sultan Alang Iskandar Syah, Almarhum DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhamad Ibni Yam Tuan Antah, Almarhum Raja Di Hilir Perak, Raja Sir Chulan dan Allahyarham Undang Rembau, Datuk Abdullah bin Haji Dahan telah menyuarakan hasrat supaya pasukan Askar Melayu ini ditubuhkan. British pada mulanya agak keberatan untuk melakukannya. Namun setelah banyak perbincangan, mesyuarat dan desakan dilakukan, akhirnya British akur dan bersetuju untuk melatih anak-anak Melayu dan mewujudkan Rejimen Askar Melayu. Akhirnya dalam Persidangan Majlis Mesyuarat Persekutuan pada 23 Januari 1933, Rang Undang-Undang Askar Melayu telah diluluskan dan dikenali sebagai Undang-Undang No 11. Pada 1 Mac 1933, seramai 25 orang anak watan Melayu pertama telah melaporkan diri di Haig Lines, Port Dickson untuk menjadi perintis Askar Melayu yang akan memikul dan menggalas tugas untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Lambang Harimau Berjuang dan Mahkota Bersendi Lima beserta Keris Bersilang adalah merupakan hasil ciptaan Pegawai Memerintah yang Pertama Rejimen ini iaitu Lt Kol G. Mc. S Bruce. ’Harimau Berjuang’ melambangkan Kepahlawanan yang Gagah Berani laksana harimau dan sedia berkawal di setiap pelosok Negara. ’Mahkota Bersendi Lima dan Keris Bersilang’ melambangkan Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Agama Islam yang menjadi tonggak fahaman mereka.

Warna teras RAMD terdiri daripada warna hijau, kuning dan merah. Hijau melambangkan Islam iaitu semua warganya terdiri daripada orang-orang Melayu yang beragama Islam. Warna Kuning melambangkan kesetiaan kepada Raja-Raja Melayu. Manakala warna Merah melambangkan keberanian warga RAMD. Cogankata pula ialah 'TAAT SETIA' yang melambangkan ketaatan dan kesetiaan warga RAMD dalam memperjuangkan bangsa dan mempertahankan kedaulatan Negara.

No comments:

Post a Comment